Sabtu, 16 Oktober 2004

Sahabatku

Penderitaan di dalam hidupku tidak akan pernah padam. Hidupku telah didakap kesunyian yang akan senantiasa berkumpul di dalam kalbu. Harapanku untuk berbaik dengan si dia sudah berkecai. Dinding ketabahanku telah lama runtuh akibat dendam… Mengapa, ya Tuhanku??? Mengapa???

Jambatan persahabatan aku dan Lina sudah lama runtuh. Nafsu amarahku akan senantiasa membara. Kebencianku terhadap Lina semakin menjadi-jadi. “Sudahlah Lisa, sia-sia sahaja jika engkau bermusuh dengan Lina,” kata Ameerah dengan lembut. Ameerah sahajalah yang setia kepadaku dan memahami perasaanku.

Aku mengenali Lina sejak aku masih kanak-kanak. Dialah rakan sepermainanku. Ikatan persahabatan kami sungguh kukuh sekali. Walaubagaimanapun, persahabatan kami mula renggang apabila kami menuntut di peringkat universiti. Aku terlalu sibuk dengan tugasanku hinggakan aku tidak sedar bahawa Lina telah menjauhkan dirinya daripadaku.

Aku terlalu sibuk sehinggakan aku hanya berkawan dengan rakan sebilikku di asrama, Ameerah. Aku tertarik kepada personaliti Ameerah. Dia seorang yang kuat beribadah, suka menggiatkan dirinya kepada kerja kebajikan. Aku, akhirnya terpengaruh dengan sikapnya itu. Aku mulai bersembahyang dan bertudung.

Tetapi kebahagiaanku tidak berpanjangan. Apabila Lina, terserempak denganku di kampus, dia mengejekku,” Eh Lisa!! Bila pula engkau bertudung? Engkau sudah bertaubat nasuha?!” Kata-kata yang keras itu menyengat telingaku. Lidahku kelu pada waktu itu. Ramai pelajar di kampus hanya menggelengkan kepala mereka. Aku sungguh malu. Malu sekali. Sampai hati Lina berbuat demikian kepadaku. Akukan sahabatnya. Sampai hati dia…

Sebagai sahabat yang setia, aku telah memaafkannya sedangkan aku sebenarnya tahu apa yang tersirat di hati Lina. Api kebencianku semakin menyala apabila beberapa hari kemudian, Ameerah pula yang menjadi mangsa Lina. Aku seringkali mengucap apabila api kemarahanku terhadap Lina semakin menjadi-jadi.

Sekarang, hampir setiap hari aku dan Ameerah berjumpa dengan Lina dan dia tidak pernah lupa untuk menjatuhkan maruah kami. Aku tetap tabah dan reda tetapi setiap kesabaran ada batasannya. Aku bosan akan sikap Lina. Aku bosan! AKU BOSAN!!! Mengapa aku yang menjadi mangsanya? MENGAPA?! Tiada kerja lebih baikkah selain mengherdikku?

Aku sudah lama menyimpan dendam ini… Aku mempunyai rancangan yang sungguh kejam. Rancangan yang akan membuat Lina menderita selama-lamanya…

Aku mengajak Lina bersiar-siar di tepi laut. Pada mulanya, Ameerah membantah rancanganku itu, tetapi akhirnya, dia bersetuju. Lina berdiam diri seketika dan mulai gelisah apabila melihat garis kekusutan pada wajahku. Aku hanya menguntumkan sebuah senyuman yang penuh sinis.

Aku sudah lama tahu bahawa Lina tidak tahu berenang. Rancanganku adalah untuk menolak Lina ke dalam laut dan membiarkan dia tenggelam. Aku mahu hapuskan segala memori kami bersama. “Lisa, kenapa engkau mengajak aku keluar?” suara Lina memecah kesunyian di tempat itu.

“Untuk membunuhmu,” kataku.

“Engkau sudah gila, Lisa?! Kenapa?!” Lina mula panik.

“Engkau takut, Lina? Selama ini, aku ingat, engkau tidak takut pada apa- apa...” kataku dengan suara yang mengejek.

“Engkau gila, ya?! Engkau sudah tak siuman?!” kata Lina, semakin panik. Aku terus menggengam tangannya dengan erat. Lina menyuruhku melepaskan tangannya tetapi aku masih berdegil. Aku masih mahu mencederakan Lina. Fikiran warasku telah dikaburi hasrat hatiku. Aku bergelut dengan Lina. Kekuatan Lina, memang tidak boleh kutandingi. Aku terpaksa mencerut leher Lina…

Tubuh Lina mula menjadi lemah. Mukanya membiru kerana tidak dapat menghela nafas. Aku boleh merasakan hembusan nafas terakhir Lina. Sekarang, barulah aku puas… Puas selama-lamanya…


Siti Aishah Bte Mohamed Kasmani 2E5 ‘04

Tiada ulasan: