Selasa, 29 September 2009

Surat Rasmi (jiran yang tidak berinteraksi)

Zahari bin Zainal
Blok 355 Jalan Bukit Merah
#08-887
Singapura 123566

17hb Sept 2007

Pengurus Kanan
Kelab Masyarakat Bukit Merah
15 Jalan Bukit Merah
Singapura 123566

Tuan

Per: Jiran yang tidak berinteraksi.

Saya, Zahari bin Zainal dari Bukit Merah, telah mendapati bahawa jiran-jiran tidak ada masa untuk berbual di antara satu sama lain. Mereka sibuk bekerja hingga malam hari dan ada yang terlalu penat untuk bertegur sapa. Setiap hari sahaja, pintu rumah-rumah mereka ditutup dan entah apa yang mereka buat pun kami tidak tahu.

Maklumlah, kita ada sebuah Kelab Masyarakat Bukit Merah yang lengang dan sepi. Di sini, saya ingin mencadangkan aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur. Antaranya ialah senaman pagi seperti taichi dan yoga, kelas memasak atau menjahit baju dan khutbah agama bagi umat Islam yang berpuasa.

Senaman pagi akan membuat orang-orang tua lebih cergas dan sihat. Bayangkanlah orang-orang tua bersenam pada waktu pagi di gelanggang bola keranjang. Seisi keluarga pun boleh mengambil bahagian membuatnya seperti senaman keluarga.

Kelas memasak boleh diadakan bagi mengetahui jenis masakan bangsa lain. Memang, semua orang sudah tahu apakah masakan yang digemari oleh masyarakat Singapura. Kalau dapur berasap, hubungan akan menjadi lebih erat di antara satu sama lain.

Khutbah agama pada bulan Puasa boleh diadakan di masjid kejiranan untuk meningkatkan rohani dan jasmani seseorang itu. Dengan menghadiri khutbah ini, mereka akan mengamalkan ibadah mereka dengan hati yang lebih ikhlas dan redha. Ada orang-orang bukan Islam dijemput untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan.

Sekian dan terima kasih saya ucapkan kepada tuan.

Yang benar

Zahari (Kerja Kumpulan Kelas Menengah 5NA)

Hujan emas di negeri orang , hujan batu di negeri sendiri.

Sejak kecil lagi, aku telah mahu bermastautin di negara-negara lain seperti Australia ataupun Kanada. Televisyen menunjukkan yang kehidupan di situ kelihatan menarik. Ada salji, system pendidikan di situ pun lebih bagus daripada Singapura.

Beberapa hari lagi, aku akan menetap di Kanada dengan suami dan anak-anakku. Kami telah bersiap-siap walaupun ibu bapaku tidak begitu rela. Aku dan suamiku, Hafiz, mahu hidup yang terbaik untuk anak kami dalam pelajaran. Kami sekeluarga boleh tinggal di sebuah rumah lengkap dengan sebuah taman. Ini berlainan engan rumah HDB kami di sini. Lagipun, cuaca di sana tidak sepanas seperti di Singapura.

Apabila di Kanada, aku terperanjat dengan orang-orang di situ. Mereka peramah dan kehidupan mereka tiak berhuru-hara. Dalam beberapan bulan, aku gembira kerana itulah cara aku mahu hidup. Tetapi, aku mula teringat negaraku, Singapura. Aku rindu orang tuaku dan lauk-pauk ibuku. Di sini, makanannya tidak begitu enak kerana roti dan kentang adalah makanan utama.

Di Singapura pula, nasi dan mi adalah makanan utama. “Sudah lama aku tidak rasa sambal goreng, nasi briyani, lontong dan sambal belacan ibu,” kataku sendirian.

Pada bulan Ramadhan, tiada keluarga lain yang berpuasa kecuali kami kerana semuanya beragama Kristian. Syawal menjelang, kami sekeluarga menerima sebuah kotak daripada keluarga di Sinagpura. Aku bermain kaset yang dihantar lalu lagu-lagu Hari Raya dimainkan. Rasa kesunyian itu timbul. Aku masih ingat keadaan sebelum Hari Raya di Sinagpura berbeza sekali. Ahli keluarga akan tolong-menolong bersihkan rumah, semua akan membuat ketupat dan kuih-muih. Baju baru akan dibeli dan ramai yang akan ke bazaar Geylang. Pada hari bahagia itu pula, wang akan diberi kepada kanak-kanak dan anak-anak akan mencium tangan ibu bapa memohon maaf.

Sehari sebelum Syawal di Kanada, aku masak rendang, ayam masak merah dan membuat sepuluh ketupat sahaja. Keadaan tidak semeriah di Singapura.

Malam itu, aku mengadu kepada suamiku tentang bagaimana aku rindui Singapura dan mahu pulang.

Kami berdua berbincang tentang perkara ini dan dia berkata yang dia akan membuat persiapan untuk kami sekeluarga pulang ke Singapura.

Tiga bulan kemudian, rumah kami dijual dan semua telah disiap. Apabila tiba di Singapura, wajah orang tuaku di lapangan terbang membuat air mataku mengalir. Di rumah ibuku, lontong telah disiapkan. Walaupun negara lain lebih baik dalam banyak daerah namun negeri sendiri tetap menjadi ingatan. Bak kata pepatah “Hujan emas di negeri orang, manakah sama di negeri sendiri”

Noraziah Nadirah
3E

Dialog tentang kegiatan rekreasi

Tempat: Perpustakaan Tampines

Masa: Lepas sekolah

Watak-watak: Ali dan Aslan

Selepas sekolah, Ali dan Aslan pun berjalan menuju ke Perpustakaan Tampines untuk membuat projek yang bertajuk “Kegiatan rekreasi” yang diberikan oleh Cikgu Siti. Mereka berasa lega dengan suasana sepi lagi dingin di perpustakaan itu.

Aslan: Menurut kamus, berekreasi bererti menyegarkan kembali tubuh badan dan akal fikiran dengan beristirehat serta menghiburkan hati diri. Adakah pelajar sekarang mempunyai masa untuk berekreasi? (sambil membelek buku)

Ali: Tidak. Saya tidak setuju kerana mereka selalu menghabiskan masa belajar di sekolah. Tambahan pula , guru-guru mereka memberi banyak kerja rumah setiap hari.

Aslan: Tetapi pada pendapat saya, ada sesetengah pelajar melepak di kolong blok dan tidak menggunakan masa mereka dengan betul. Saya fikir ada juga pelajar yang pergi bersenam di Stadium Tampines atau Kolam Air Bedok pada waktu petang.

Ali: Buku-buku teks mendatangkan tekanan kepada para pelajar kerana susah hendak difahami oleh mereka, terutama buku teks Sains dan Matematik. Pelajar menghabiskan banyak masa untuk mengulangkaji pelajaran mereka.


Aslan: Hmm. Tetapi ia adalah tanggungjawab pelajar untuk membahagikan masa dengan tepat untuk belajar atau berhibur bersama rakan-rakan. Mereka harus berdikari dengan situasi sebegini.

Ali: Tetapi ini semua adalah keputusan mereka sendiri.Jikalau mereka ingin berjaya, mereka harus pandai membahagikan masa.Ini adalah langkah permulaan yang boleh dibuat oleh pelajar-pelajar.

Aslan:Ada pelajar yang tidak tahu membahagikan masa untuk melepaskan tekanan atau stres,contohnya mendengar muzik,bersenam di taman atau mengambil angin di tepi pantai.

Ali:Bukan semua pelajar yang tahu berekreasi.Mungkin perkara ini harus digalakkan oleh ibu bapa mereka.

Mereka masih tidak sependapat dalam hal tersebut. Namun mereka harus juga menulis projek mereka untuk dihantar kepada Cikgu Siti esok.


Pelajar-pelajar Menengah 2 Ekspres dan Ain Nabila (4C)

Sarankan cara-cara bagaimana sekolah kamu boleh menyambut Hari Kebangsaan dengan lebih bermakna.

Semua rakyat Singapura menyambut Hari Kebangsaan pada 9hb Ogos setiap tahun. Pada sehari sebelumnya, setiap sekolah akan menyambut hari yang sungguh bermakna ini. Hari ini bermakna bahawa negara kita merdeka dan bebas daripada penjajah British. Negara kita sudah berusia 40 tahun dan kita sudah mencapai tahap sebuah negara yang maju.

Sehari sebelum Hari Kebangsaan, sekolah saya akan memulakan pagi itu dengan upacara menaikkan bendera dan sekaligus menyanyi lagu kebangsaan, “Majulah Singapura” yang digubah oleh Allahyarham Zubir Said. Pengetua dan seluruh sekolah memandang bendera semasa ia dinaikkan perlahan –lahan sebagai tanda hormat. Kemudian, beliau membaca ucapan yang ditulis oleh Menteri Pendidikan, Encik Tharman Shanmugaratnam. Para pelajar boleh memakai baju berwarna merah dan putih yang melambangkan bendera Singapura.

Di samping itu, kami boleh menyanyikan lagu-lagu Cina , Melayu dan India kerana masyarakat Singapura adalah masyarakat majmuk iaitu berbilang bangsa. Pada tahun lalu, sekolah kami menonton filem Jack Neo yang bertajuk Home Run yang mengisah hidup pelajar-pelajar yang tidak berkasut pada tahun 1960an. Jadi, boleh dibawa budak-budak menonton filem tentang negara tercinta ini.

Sekolah kami boleh mengadakan gerai-gerai mainan dan makanan untuk dijual kepada murid-murid. Ia bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi menolong murid-murid miskin di sekolah kami. Pada hari itu pelajar-pelajar tidak perlu belajar tetapi mereka boleh mencuba gerai-gerai mainan dan permainan tradisional seperti sepak takraw, congkak dan sebagainya.

Mungkin boleh juga diadakan pameran tentang Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang mempertahankan Singapura daripada musuh. Atau sekolah mengadakan pameran tentang kisah hidup pengasas Singapura iaitu Encik Lee Kuan Yew yang telah banyak berjasa kepada tanahair kita.

Beginilah cara-cara sekolah kami menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun. Semoga negara tercinta ini terus maju demi mencapai kemakmuran, keamanan dan kemajuan.

Tajuddin bin Abdul Khalim
5B

AIR SANGAT PENTING DALAM HIDUP KITA. Bincangkan.

Takrif air ialah kumpulan cecair yang terdapat di dalam sungai, tasik dan laut. Bila berlaku kekurangan air, musim kemarau atau musim kering akan terjadi. Baru-baru ini, banjir berlaku bila hujan turun dengan sangat lebatnya dan Singapura dilanda ribut. Sumber air di Singapura datang dari Johor, loji penyulingan air laut di Tuas, kolam-kolam air Bedok, Seletar, Pierce dan MacRitchie. Bekalan air di Singapura amat terhad kerana bilangan penduduk yang bertambah banyak dan pendirian kilang-kilang yang memerlukan air.

Tanpa air, hidup kita akan sengsara. Di dunia ini, air merupakan sumber alam yang terhad. Sumber air datangnya dari hujan, laut dan sungai. Air pun sangat penting bagi kita kerana tanpa air, semua makhluk dan tumbuh-tumbuhan akan mati kehausan dan kekeringan. Banyak kawasan yang subur dulu kini sudah menjadi gurun.

Air juga sangat penting kepada manusia. Manusia menggunakan air untuk mandi, masak, minum dan mencuci baju. Air juga dibuat menjadi air batu sejuk. Jikalau hidup tanpa air, manusia boleh mati. Bukan manusia sahaja yang perlukan air, haiwan juga perlukan air. Di Afrika, banyak binatang telah mati kerana berlakunya musim kemarau. Di kawasan yang kering ini juga sering berlaku kebakaran yang menyebabkan jerebu.

Air laut meliputi tiga suka permukaan dunia sementara darat pula mengambil tempat satu suku sahaja. Air laut tidak boleh diminum. Kita juga ada sumber air seperti ais batu, air hujan, dan juga mata air. Tetapi air lautan tidak boleh diminum. Meminum air laut akan merosakkan buah pinggang. Ada manusia yang pandang ringan pada air misalnya mereka membazirkan air. Ibaratnya, apabila mereka mandi dan tidak memerlukan air, mereka akan membiarkan air itu mengalir. Mereka tidak peduli untuk menutupkan pili air. Jimatlah air kita!

Kesimpulannya, air tetap menjadi keperluan yang penting sehingga pemerintah mengitar semula air seperti AirBaru serta menjalankan kempen menjimatkan air setiap masa. Mereka juga mengadakan catuan air unutk memberitahu penduduk supaya tidak membazirkan air.



Dibuat bersama murid-murid Menengah 2 Ekspres 2007

Surat Rasmi Kepada Penguasa Pengangkutan Darat (Meminta sebuah jejantas dibina)

Aiman bin Abdul Malik
106 Marina View
#17-643
Singapura 228106

25hb Ogos 2004

Pegawai Perhubungan Awam
Penguasa Pengangkutan Darat
460 Alexandra Road
#28-00
PSA Building
Singapura 119963

Tuan

Per: Meminta sebuah jejantas dibina

Merujuk kepada perkara di atas , saya Aiman bin Abdul Malik salah seorang penduduk di Marina View ingin memohon agar sebuah jejantas dibina di Jalan Marina View. Sejak kebelakangan ini, jalan bersebelahan Sekolah Menengah Marina View ini semakin sibuk dengan kenderaan khususnya pada waktu pagi dan petang.

Dua hari yang lalu, suatu kemalangan jalan raya telah berlaku di jalan itu di mana seorang pelajar telah mati digilis oleh sebuah lori. Untuk mengurangkan risiko kemalangan daripada berlaku pada sesiapapun, sebuah jejantas sepatutnya dibina di atas jalanraya tersebut.

Ia juga dapat mengurangkan kesibukan jalan raya itu khususnya pada waktu pagi apabila pelajar-pelajar hendak pergi ke sekolah. Dengan jejantas ini, pelajar-pelajar serta penghuni-penghuni Marina View dapat menggunakannya untuk melintas dengan selamat.

Bilangan penduduk Marina View semakin bertambah banyak sejak rumah-rumah pangsa baru dibina. Lagipun, mereka selalu memandu kereta melalui Jalan Marina View setiap masa untuk ke mana-mana sahaja. Ini telah menjejaskan lalu-lintas dan menyebabkan kesesakan jalan raya.

Sebuah jejantas yang dihias dengan bunga-bunga juga dapat mencantikkan pemandangan estet perumahan Marina View selain memastikan keselamatan dan mengurangkan kesesakan jalan raya.

Sekian dan semoga tuan dapat meluluskan pembinaan jejantas dengan secepat mungkin. Terima kasih.

Yang benar

(tandatangan)
Aiman bin Abdul Malik

Sahabat kamu berasa hampa kerana tidak terpilih untuk mengikuti satu lawatan sambil belajar ke luar negeri yang dianjurkan oleh sekolahnya.

Hisham Bin Jamal
234 Jalan Naga Sari
Singapura 288874
1hb Ogos 2004

Menemui sahabatku Syarif
di Jalan Lembah Bedok
dengan selamatnya

Saudara

Saya diberitahu bahawa saudara sedang berasa hampa kerana tidak terpilih untuk mengikuti satu lawatan sambil belajar ke luar negeri. Saya harap saudara tidak akan berasa kecil hati sebaliknya saudara harus menjalani kehidupan seperti biasa. Perasaan sedih tidak akan berkekalan kerana ia akan surut dengan ombak hidup. Dalam hidup kita, adakalanya kita menemui kesedihan dan tentunya ada masa juga kita berasa gembira. Fikirlah masa-masa gembiramu dan jangan biarkan kesedihan itu berpanjangan.

Pada hujung minggu ini, keluarga saya telah bercadang untuk pergi ke Pulau Langkawi untuk bercuti . Saya ingin mengajak saudara pergi bersama pada cuti ini supaya dapat merehatkan minda saudara dan melupakan segala kenangan pahit. Saudara boleh pergi? Cepat-cepat hubungi saya.

Pulau Langkawi merupakan sebuah pulau yang indah dengan pasir pantai yang bersih lagi putih serta laut yang biru dan jernih. Saudara boleh lupakan segala kesibukan di Singapura apabila berada di sini. Tempat ini memang ada keajaibannya yang tidak tercari di Singapura. Mungkin saya boleh berenang di dalam air laut yang kebiru-biruan bersama saudara.

Sudah masanya untuk saya beredar kerana emak memanggil saya. Saya akan menanti balasan surat saudara sama ada hendak mengikuti keluarga saya ke Langkawi atau tidak . Tolong sampaikan salam saya kepada Siti, Pak Din dan Mak Peah. Semoga mereka sihat walafiat. Jumpa lagi!

Sahabat setiamu
SHAM

Dibuat Dengan Kerjasama
Sharifah Athirah 4N1 & Mohd.Tajuddin 4N2 & Mohd.Hafiz 2N2 & Md.Danial 2N1