Selasa, 29 September 2009

Antara Impian Dan Dilema

Semua pelajar mempunyai impian dan cita-cita tersendiri untuk menuju ke menara gading pada masa depan. Namun demi untuk mencapai impian dan cita-cita ini, mereka harus bekerja keras serta harus mempunyai sikap yang positif terhadap pelajaran. Ini adalah kerana pelajaran adalah salah satu perkara yang dapat menentukan kejayaan dalam hidup. Salah satu langkah terpenting ialah pelajar harus menumpukan perhatian di dalam kelas. Berangan-angan macam Mat Jenin akan menjejaskan perhatian pelajar ketika guru sedang mengajar. Topik penting yang diajar mungkin tidak ditangkap oleh pelajar demikian lalu ia dilupakan langsung.

Kebanyakan pelajar sering mengeluh kerana terlalu banyak kerja sekolah. Hampir semua guru yang memberikan kerja harian dan beban mereka bertambah pula dengan kegiatan luar darjah. Ternyata mereka yang kesuntukan masa tidak berupaya menyiapkan tugasan yang diberikan. Lambat-laun, ini akan menyebabkan mereka gagal dalam peperiksaan.

Perkara yang penting ialah murid yang tidak memahami
pengajaran guru. Juga keberkesanan mengajar guru itu paling penting. Hubungan dua hala patut dititik-beratkan. Seorang guru yang baik harus memahami masalah pelajar dan sebaliknya. Oleh kerana tidak faham, pelajar itu patah semangat dan menjadi bosan di kelas. Perbuatan bercakap-cakap di kelas, sering lupa, suka bertangguh dan tidak mahu buat kerja sekolah adalah tanda-tanda berputiknya kegagalan.
Lama-kelamaan impian pelajar itu hancur luluh.
Oleh ini, untuk berjaya dalam hidup dan juga pelajaran, kita harus membuat jadual waktu belajar yang berkesan. Dengan jadual masa yang sempurna, kita mesti mendisiplinkan diri sendiri untuk mengikuti jadual yang telah dibuat. Jika kita berjaya untuk mendisiplinkan diri sendiri untuk mengikuti jadual waktu belajar, kita akan dapat mengatasi halangan pertama iaitu tidak memahami pengajaran guru.

Sikap mendisiplinkan diri sendiri mesti disemaikan sejak dari usia muda lagi. Bak kata pepatah “kalau hendak melentur buluh biar dari rebungnya.” Semua ini harus dimulakan dengan menanamkan sikap berdisiplin secara beransur-ansur. Secara pelahan-lahan. Sikit-sikit pun boleh kerana lama-lama akan menjadi bukit.

Kejayaan memang senang untuk diimpikan tetapi bagaimanakah proses untuk mencapai kejayaan tersebut. Apa-apa yang hendak dibuat di dunia semuanya memerlukan kerja keras. Saya masih ingat apa yang dinasihati oleh rakan saya ialah apa yang diimpikan tetapi tiada kerja keras adalah sebuah impian kosong, kerja keras tanpa impian pula adalah sebuah impian yang tidak berpijak di bumi nyata.

Kesimpulannya, antara impian dan dilema, biarlah dikejar kedapatan dan yang dikendung keciciran. Manusia apabila menemui kegagalan selalu berdalih tetapi lebih baik berusaha daripada berdalih. Kita tidak boleh lari dari masalah kita melainkan menghuraikan perkara secara kecil-kecilan dahulu, barulah dilema bertukar menjadi impian pelajar.

Mujahid Azfar Bin Sazali
4C

Tiada ulasan: