Selasa, 29 September 2009

Belajar sampai ke negeri China

Menurut buku “Peribahasa Melayu” karya Abdullah Hussain,
peribahasa : “Ringan Tulang Berat Perut” boleh ditakrifkan sebagai orang yang rajin bekerja akan mendapat banyak rezeki. Bagi pelajar, kita boleh mengatakan bahawa kalau dia rajin belajar dan membaca buku, sudah pasti rezekinya ialah memperolehi keputusan peperiksaan yang cemerlang. Jadi bagaimana kita boleh mencapai kejayaan sebagai seorang pelajar. Kalau hendak belajar, biarlah belajar sampai ke negeri Cina kata orang-orang tua.

Semua murid mahu berjaya tetapi untuk menuju ke mercu kejayaan bukanlah senang. Yang pertama, murid-murid harus menghindarkan diri daripada sikap mudah putus asa. Kita tidak boleh patah semangat ketika menempuh kehidupan yang susah. Sebaliknya, kita harus rajin berusaha ertinya ringan tulang. Selain daripada itu, murid-murid harus bersikap sabar dalam mengejar kejayaan untuk mencapai cita-cita yang diingini. Rajin membaca buku adalah antara langkah yang dapat menambah ilmu pengetahuan kita.

Selalunya guru selalu menasihati supaya rajin membaca buku dan membuat latihan. Latihan sekolah yang diberikan oleh guru lebih baik disiapkan oleh murid dengan cermat kalau boleh segera. Ini adalah kerana bertangguh itu pencuri masa. Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Banyak membaca juga mencerdaskan minda pelajar. Kita akan tahu daripada pertuturan seseorang yang banyak membaca buku. Percakapan mereka teliti, jitu dan tepat. Ini adah kerana membaca dapat menajamkan minda. Manakala perbualan Mat Jenin tidaklah bertempat di bumi nyata, bernas dan tidak berfokus.

Seorang murid harus pandai menghargai masa. Bilakah masa untuk belajar, bersantai dan bermain? Rehat, makan dan tidur itu juga merupakan keperluan asas kita. Kita lihat alam samudera, air laut ada air pasang dan surut. Seorang pelajar pasti ada waktu yang bahagia dan kecewa. Cuma yang penting adalah bagaimana dia mengatasi aral melintang itu?

Semua guru yang berpengalaman macam Tok Guru akan berkata: Gunakanlah jadual belajar harian. Jadual belajar harian mereka harus teratur dan tidak berkecamuk. Tidak boleh dikelirukan. Mereka harus mendisiplinkan diri untuk mematuhi jadual belajar bagi meraih manfaatnya.

Seorang murid harus sentiasa ada sifat ceria dan bersemangat. Mereka yang berfikiran positif sentiasa mahukan yang terbaik buat diri mereka dalam pelajaran. Ceriakan diri setiap hari supaya guru-guru suka mendampingi anda. Janganlah menunjukkan muka masam asam kecut nanti orang tidak suka.

Rajin bertanya guru jika kurang faham. Malu bertanya merupakan sikap negatif seorang pelajar. Sikap suka bertanya menambahkan kefahaman. Sebagai pelajar, anda harus mempunyai cita-cita yang jelas untuk memandu anda mencapai impian hidup. Cita-cita yang diidamkan perlu seiring dengan minat seseorang. Seboleh-bolehnya, cuba belajar secara berkumpulan. Terbuktilah, mereka yang rajin berusaha pasti akan dapat ganjaran yang berlipat kali ganda pada masa hadapan.

Farah Farhana Bte Anuar
Men 3D

Tiada ulasan: