Selasa, 29 September 2009

Pengorbananmu Kusanjungi!

Aku terbaring di atas katilku yang empuk itu. Terpampang di dinding, sekeping gambar seorang yang bernama Riza. Aku teringat akan pengalamanku sewaktu bersahabat dengannya. Aku dibawa ke alam khayalanku.

“Hei, hati-hati! Ada kereta,” suara nyaring seseorang di belakangku menusuk ke dalam gegendang telingaku. Beberapa saat kemudian, aku diangkat dan dikejarkan ke tepi jalan raya. Aku tersedar bahawa lelaki yang menyelematkan aku daripada dilanggar sebuah kereta itu merupakan lelaki yang memberiku amaran sebentar tadi.

Aku berterima kasih kepadanya kerana telah menyelamatkan nyawaku. Sejak itu, kami menjadi teman rapat bak isi dengan kuku. Aku mendapat tahu bahawa namanya Riza. Kami selalu bersembang bersama-sama sehingga segelintir daripada sahabat kami menyangka yang kami sedang berasmara. Kami tidak menghiraukan sangkaan mereka itu.

Pada suatu ketika, berlakulah suatu pergaduhan dan perselisihan faham antara kami berdua. Aku enggan bercakap dengannya walaupun dia telah berkali-kali memujukku. Hatiku yang indah bagaikan telah tercalar dek perbuatannya. Aku bersedih hati tetapi tidak berdendam terhadap Riza.

Sejak pergaduhan kami itu, aku sudah tidak rapat dengan Riza. Sebaliknya, aku mula berkawan dengan samseng di kolong blok rumah aku. Aku berasa istimewa jika aku berada bersama mereka. Malangnya, aku tidak menyedari bahawa hasutan jahat mereka telah mengena padaku. Lama-kelamaan, aku mula merokok dan berjinak-jinak dengan dadah.

Suatu hari, ketika aku sedang khayal mengambil dadah, aku terperasan ada sebuah kereta ronda polis. Semua rakan samsengku sudah melarikan diri dan meninggalkan aku seorang diri. Aku terasa satu pegangan kuat di tanganku. Aku ternampak raut wajah Riza. Dia menarikku jauh dari penglihatan pegawai polis.

Dadah di genggaman tanganku tadi diambilnya. Dia menyuruhku sorokkan diriku. Aku berlari secepat kilat. Dari tempat aku menyorok, aku terlihat Riza digari. Dia telah ditangkap polis. Entah mengapa, manik-manik jernih mula mengalir di pipiku. Aku sedar bahawa Riza rela mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan aku.

Aku berasa kesal dan marah terhadap diriku dan rakan-rakan samsengku. Riza sanggup meletakkan dirinya dalam bahaya untuk menyelamatkan aku. Riza sanggup masuk ke penjara kerana aku.

Aku tersedar dari lamunanku. Riza seorang rakan sejati. Baru aku sedar betapa mulia hati Riza selama ini. Aku berazam untuk menjadikan dirinya sebagai contoh teladan bagiku dalam usahaku menjadi insan yang lebih baik.


Dian Syafeeqah Bte Mohd As’ad 2E4 '09

Tiada ulasan: