Selasa, 29 September 2009

Maafkan Aku, Ibu, Ayah

Ayah dan ibu tidak pernah bertengkar sebegini. Aku menyesal dengan apa yang telah berlaku. Akulah punca mereka bertegang urat. Akulah yang telah menyebabkan rumah tangga mereka tidak kukuh seperti dahulu. Mengapakah aku bodoh sangat sehingga melakukan sesuatu yang menconteng arang di muka ibu bapa? Tidak pernah aku fikirkan tentang apa yang mungkin terjadi kerana kelakuan aku. Air mata mula bergenang lalu menitik satu persatu di saat aku terkenang kembali peristiwa lama itu.

Aku merupakan seorang anak tunggal, zuriat yang dikurniakan kepada ibu dan ayahku. Apa sahaja permintaanku akan ibu dan ayah tunaikan. Segala permintaanku dimakbulkan. Ibu dan ayah selalu memanjakanku. Aku bagaikan seorang puteri yang permintaannya harus dimakbulkan. Kegembiraanku, kegembiraan mereka pastinya. Aku tidak tahu betapa susah mereka bekerja dari pagi hingga ke larut malam, untuk menggembirakanku.

Sebagai seorang remaja, permintaanku semakin melampau. Komputer riba, telefon bimbit dan bermacam-macam lagi yang aku inginkan. Ibu dan ayah berjanji untuk membelikan semua itu untukku. Pada suatu hari, ayah mengatakan bahawa janjinya tidak dapat beliau tunaikan. Keadaan ekonomi sedang merosot dan beliau ingin berjimat. Ibu bersetuju dengan cadangan ayah tetapi aku tidak memahami. Aku rasakan bagai dikhianati. Aku mengurungkan diri di dalam bilik, merajuk dengan apa yang baru diberitahu kepadaku. Aku tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Kata-kata ayah terngiang-ngiang di telingaku. Sebagai seorang anak yang selalu dimanjakan, aku tidak kenal dengan erti ‘tidak boleh’.

Setelah bermasam muka selama beberapa hari, aku sedar ada kebenaran dengan kata-kata ayah. Aku sedar yang aku harus meminta maaf dengan ibu dan ayahku. Hajatku tidak tercapai. Ibu dan ayah jarang berada di rumah selepas itu. Mereka sentiasa sibuk. Aku cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian mereka tetapi segala usahaku gagal. Aku mula merasakan mereka tidak sayang pada aku lagi.

Aku mula mencari perhatian di luar rumah. Aku bergaul dengan belia-belia yang hanyut. Aku rasakan yang perhatian yang aku dambakan selama ini telah ku temui. Aku jarang pulang ke rumah sekarang. Rumah itu hanya seperti rumah persinggahan sahaja. Ibu dan ayah tidak tahu tentang aktiviti aku pada siang hari. Aku sering tidak ke sekolah. Aku membuang masa di rumah rakan-rakan baruku, menghisap rokok dan melakukan pekerjaan yang tidak berfaedah.

Pada suatu hari, setelah berpesta hingga larut malam, aku tertidur di rumah rakanku. Tidak aku sangka, malam itu telah meninggalkan nokta hitam dalam hidupku. Aku telah terlanjur pada malam itu. Aku bukan hanya tidur dengan seorang rakan lelakiku tetapi seramai tiga orang. Aku terkejut. Dengan cepat, aku pulang ke rumah. Perasaan takut menyelubungiku. Namun, perasaan itu hanya untuk seketika sahaja. Aku masih bergaul dengan rakan-rakanku itu beberapa hari kemudian.

Hari berganti hari. Tidak aku sangka, aku mengandung. Aku tidak tahu bagaimana untuk memberitahu ibu dan ayahku. Aku sendiri tidak tahu siapa bapa bayi di dalam kandunganku itu. Perasaaan yang bercampur-aduk menyelubungiku.

Pada suatu hari, aku memberanikan diri untuk memberitahu ibu. Aku menelefonnya sambil menangis. Aku memberitahunya tentang keadaanku. Ibu pulang bersama ayah tidak lama kemudian. Mereka terkejut melihat aku berbadan dua. Selama ini, mereka asyik bekerja tanpa mempedulikan aku. Ayah mula naik berang, memarahi aku tanpa henti. Pada mulanya, ibu memelukku tetapi tidak lama kemudian, beliau menjauhkan diri daripada aku. Ibu malu dengan perbuatanku. Mungkin juga beliau jijik.

Setelah itu, ibu dan ayah sentiasa bertengkar. Saling menyalahi satu sama lain kerana tidak memberi aku perhatian yang cukup. Mereka saling bertengkar walaupun sudah hampir sembilan bulan aku mengandung. Walau bagaimanapun, ibu dan ayah tidak membenarkan aku mengugurkan kandunganku.

Aku rasa mereka selalu bertengkar kerana tidak dapat memaafkan diri mereka sendiri. Mereka rasa bertanggunjawab di atas keadaanku ini. Kini, mereka mahu aku bersikap bertanggungjawab dengan meneruskan kandunganku itu.



Siti Nazihah Bte Mohd Salleh 3E7 '09

Tiada ulasan: