Ahad, 16 Oktober 2005

Anak

Aku melangkah dengan penuh hati-hati. Bunyi yang datang dari tempat pembuangan sampah itu semakin mencurigakan. Aku mengatur langkah dan menuju ke pintu usang itu perlahan-lahan. Aku membuka pintu itu lalu mencari-cari bunyi yang aneh itu. Sedetik kemudian, tangisan bayi memecah kesunyian pada ketika itu. Aku menghampiri bayi itu lalu mengangkatnya. Badannya berlumuran darah. Hanya kain putih yang membalut tubuh insan yang tidak berdosa itu. Aku mendakapnya dan memberikan secebis senyuman. Tetapi, hati kecilku berbisik dan bertanya, siapakah insan yang telah melepaskan tanggungjawabnya ke atas bayi ini? Sungguh malang nasibnya. Aku membuat keputusan untuk mengambilnya pulang.

Selesai saja aku membersihkan bayi perempuan itu, aku menyarungkan pakaian bayi yang sedia ada di almari. Aku mendodoinya setelah menyediakan tempat tidurnya. Dia tidur dengan lena. Aku melabuhkan punggungku di atas sofa empuk bersebelahan dengan katilku. Aku memejamkan mataku yang layu tetapi aku membukanya kembali apabila mendengar dedaun pintu kamarku dibuka perlahan-lahan. Aku melihat Wan Maimunah, mamaku yang tua itu masuk ke dalam bilikku. Dia menghampiri bayi perempuan yang sedang lenyak tidur lalu mencium dahinya yang lembut. Setelah itu, dia mengatur langkah lemah lalu melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan aku. Sebelum dia sempat berkata apa-apa, aku dapat meramalkan soalan yang ingin ditanyanya. Aku menjelaskan semuanya. Dia mengerti dengan keputusanku untuk menjaga bayi itu. Mama keluar dari bilikku setelah diberitahu aku ingin berehat. Tiba-tiba, kenangan pahit menggamit perasaanku. Hatiku berdegup hebat dan kuat. Aku diselubungi perasaan sedih. Aku pasrah.

Usia remajaku dipenuhi dengan pelbagai godaan, cabaran dan rintangan. Bak kata pepatah, “Air juga ada pasang dan surutnya”. Aku dibesarkan dalam keadaan sederhana dan bahagia. Akulah anak tunggal mama dan papaku. Aku dijaga seperti menatang minyak yang penuh. Akulah harapan mereka dan aku akur, aku diberi cukup perhatian dan kasih sayang. Tetapi, pada usiaku yang muda, baru ingin menjejak 18 tahun, aku dihantui oleh perasaan marah yang membuak-buak setelah papa membuat keputusan untuk meninggalkan mama. Sejak hari itu, perasaan benci sentiasa terpahat di dalam hatiku ini. Kasihan mama. Dia telah banyak berkorban demi kepentinganku. Dia bekerja siang dan malam supaya aku dapat meneruskan kehidupan sebagai seorang remaja biasa. Walau bagaimanapun, aku kesal akan perbuatanku yang telah menghancurkan hati mama. Oh! Berdosanya aku!

Seperti malam Ahad yang lain, aku telah diajak oleh rakan-rakan seperjuanganku ke Hard Rock Café. Di situlah aku melepaskan tekananku dari kerja-kerja sekolah. Walaupun aku telah berjaya melanjutkan pelajaraanku ke menara gading, aku terus hanyut dan leka akan batas-batasku sebagai seorang Muslimah. Aku menghayunkan badan mengikut rentak lagu reggae yang bergema kuat di dalam kelab pada malam itu. Setelah penat berdansa, aku melabuhkan punggungku ke atas sofa empuk lalu menghabiskan segelas Vodka Martini dengan cepat. Tiba-tiba, aku terdengar orang berdehem. Aku mendongakkan kepalaku lalu melihat seorang lelaki berbadan sasa, mempunyai raut wajah tampan dan senyuman yang telah memukau hati kecilku ini. Aku menjemputnya duduk. Perbualan di antara kami rancak dan akhirnya, kami membuat keputusan untuk berkenalan. Namanya Irwan.

Selepas pertemuan aku dan Irwan yang pertama, kami sering keluar bersama. Aku mendapat tahu bahawa dia bekerja sebagai seorang pegawai Polis dan berpelajaran tinggi. Dia juga seorang pesilat negara yang telah banyak memungut pingat di pertandingan-pertandingan luar negara. Benih percintaan dan kasih sayang mula tumbuh di hati masing-masing. Sekian lama menjalinkan hubungan, aku dikejutkan dengan pertanyaan Irwan yang ingin melamarku sebagai permaisuri hidupnya. Malangnya, pada waktu itu, aku belum bersedia untuk menyempurnakan tanggungjawabku sebagai seorang isteri. Sejurus kemudian, kami pula sebulat suara untuk bertunang dahulu.

Cincin pertunangan yang telah disarungkan ke jari manisku sentiasa mengingatkan aku betapa besar dan luhurnya kasih sayang Irwan. Dia sanggup bekerja keras untuk persediaan hari aku diijabkabulkan bersamanya.

Di keheningan malam, aku termenung seorang diri. Tidak lena mataku dipejam. Suaranya yang merdu sering terngiang-ngiang di telinga, membuatkan aku lebuh merinduinya. Tiba-tiba, kedengaran telefon bimbitku berdering. Aku mengangkat lalu tersenyum apabila terdengar suara tunanganku di hujung talian. Aku tersenyum dengan lebih lebar apabila dia mengingatkan aku akan hari istimewa yang bakal dilangsungkan pada hujung bulan ini.

Mahligai aku masih teguh walaupun sudah setahun aku digelar isteri. Aku juga sedang mengandungkan anak pertamaku. Bayiku itu akan membahagiakan lagi keluarga aku kelak. Aku tidak sabar menantikan kelahirannya dalam masa 5 bulan lagi.

“Abang! Mama! Tolong!!” aku cuba memanggil suami dan mamaku sambil menahan kesakitan yang amat perit itu. Irwan, dengan cepat menuju ke bilik air. Dia terperanjat melihat darah yang banyak di atas permukaan lantai. Manik jernih bercurahan di atas pipi gebuku. Aku tahu bahawa aku baru saja keguguran anak. Walaupun tampak hampa, Irwan cuba menenangkanku yang tidak dapat mengawal diri. Aku memeluknya erat lalu meminta maaf kerana telah menghancurkan harapannya untuk menjadi seorang ayah.

Selepas peristiwa itu, aku sentiasa murung dan berkurung di dalam kamar. Kepada suamiku dan mamakulah aku melepaskan kekesalan dan kecuaianku. Aku kasihan melihat mereka yang tidak pernah berhenti untuk menghiburkan aku dan menasihatkanku supaya menerima takdir yang telah ditentukanNya. Aku pasrah. Aku tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Ya Allah! Berikan aku kekuatan untuk mengharungi cobaan yang Engkau berikan ini! Bahagiakanlah keluargaku! Amin.

Elvy Quraishah, puteriku sudah menjejak dua tahun. Aku mengusap-usap pipi gebunya dan bermain-main dengan rambutnya. Setelah itu, dia meletakkan kepalanya ke atas ribaku. Elvy terlena setelah aku menepuk pahanya yang kecil. Aku tersenyum sinis apabila teringat kembali Elvy yang bertanyakan papanya yang sedang bekerja itu. Aku melihat refleksi diriku di cermin yang tergantung di dinding berhadapan denganku. Aku mula redha dengan keguguran anakku tiga tahun lalu. Pada usiaku yang 26 tahun ini, aku pasti, masih ada peluang untukku mengandungkan anak dan menyempurnakan keluargaku.

Aku sedar, dengan kehadiran Elvy dan anak yang sedang aku kandungkan ini, aku dapat mengecapi keluarga bahagia. Aku meratapi potretku bersama Irwan. Mahligai yang aku bina tidak akan aku persia-siakan. Irwan seorang suami yang aku anggap sempurna. Tetapi, aku mula resah. Apakah akan terjadi nanti apabila Elvy mendapat tahu dia hanya seorang anak pungutan? Aku harap bahawa rahsia ini tidak akan terbongkar. Insya Allah.

Musfirah Bte Mohamed 4E4 '05

Tiada ulasan: