Jumaat, 21 Oktober 2005

Sahabat Karibku

Matahari sudah terbenam dari ufuk barat; warnanya kemerah-merahan. Hanya bulan dan bintang-bintang yang berkerdipan, cantik menghiasi dada malam. Aku sedang baring sambil mengelamun di katilku. Tiba-tiba aku teringatkan sahabat karibku yang telah pergi untuk selama-lamanya, meninggalkan aku sendirian.

‘Elfa Azzatul Farina’ itulah nama yang masih terngiang-ngiang di cuping telingaku. Setiap kali mataku terpandang gambarnya, manik-manik putih akan mengalir membasahi pipi gebuku. Dialah yang telah mengajarku erti kehidupan. Dialah insan yang telah memberiku perangsang dan semangat untuk meneruskan kehidupanku dalam keadaan yang serba kekurangan.Aku telah menjadi cacat akibat kemalangan yang telah melanda diriku setahun yang lalu. Dia merupakan seorang sahabat sejati yang tidak dapat kulupakan. Persahabatan yang akrab terbina sejak di bangku sekolah rendah lagi. Sifatnya yang penyayang dan peramah membuat orang mudah berkawan dengannya. Dia juga seorang yang cekap dan rajin. Oleh sebab sikapnya yang berdisiplin itu, dia sering meraih tempat pertama sewaktu kami di bangku sekolah. Sewaktu aku diselubungi masalah, dia akan cuba menghiburkanku. Padaku, dialah insan yang paling sempurna.

Persahabatan yang telah kami bina selama lebih lapan tahun itu telah kami jaga dengan baik sekali. Kami saling bantu membantu antara satu sama lain pada waktu-waktu tertentu. Kami juga kerap mempunyai pendapat yang sama. Apabila kami bersua, tentu ada sahaja perkara yang ingin diceritakan. Aku berasa senang ketika berada di sisinya. Elfa juga tidak pernah berasa malu untuk keluar bersama seorang perempuan yang cacat sepertiku. Masa yang kami luangkan bersama tidak akan luput dari ingatanku. Sekuntum senyuman lebar yang sering terukir di bibirnya sehingga menampakkan barisan giginya yang putih bak mutiara itu akan aku semadikan bersamaku.

Peristiwa yang telah membuatku menghargai Elfa sebagai seorang sahabat baik masih segar di kotak fikiranku. Peristiwa itu berlaku semasa aku baru sahaja dilanda kecelakaan. Selepas kemalangan itu, kawan-kawanku mula menghindariku. Satu demi satu tidak mahu melayanku seperti dulu lagi. Mereka sering meninggalku bersendirian dalam keadaan yang cacat ini. Ada juga yang mengumpat tentang diriku dan mengutuk keadaanku. Hatiku seperti kaca yang terhempas ke lantai apabila mendengar hinaan mereka itu. Aku amat kecewa dengan sikap mereka itu.

Aku mula menjauhkan diri daripada rakan-rakan sedarjahku sejak hari itu. Bagaimanapun,aku pasti kecacatanku akan tetap menjadi buah mulut mereka. Walaupun aku telah kehilangan ramai kawan, aku tahu bahawa masih ada seorang lagi yang mengambil berat tentang diriku. Orang yang kumaksudkan itu ialah Elfa. Dia telah menghampiriku untuk menemaniku sewaktu di sekolah. Dia tidak mengendahkan kutukan-kutukan yang diterima olehnya hanya kerana dia senang bergaul dengan seseorang yang cacat sepertiku. Aku amat terharu dengan sikapnya itu. Sekuntum kegembiraan bergayut di lubuk hatiku pabila kukenangkan kejujurannya.
Walaupun berjauhan Elfa akan kusemadikan dalam lubuk hatiku. Kini aku hanya mampu memanjatkan doa untuknya yang telah lama kembali kepada Penciptanya.

Nurulshafiqah Bte Subadi 1E6 05

Tiada ulasan: