Ahad, 16 Oktober 2005

Seandainya Saya Dapat Mengembalikan Waktu

Kehidupan saya sejak sepuluh tahun lalu menjawab keadaan diri saya kini. Sewaktu umur saya baru mencecah tiga belas tahun, saya sudah sering menyaksikan pertengkaran antara ibu bapa saya. Pertengkaran itu berlarutan hingga menyebabkan mahligai yang dibina selama lima belas tahun itu runtuh. Ibu bapa saya berpisah sewaktu saya berusia empat belas tahun. Saya tinggal bersama ibu dan nenek. Namun, nenek yang menjaga saya kerana ibu terpaksa keluar bekerja siang dan malam, walaupun hujan badai. Ibu bekerja sebagai tukang cuci tandas di salah sebuah hotel.

Sebagai seorang remaja, saya dahagakan kasih sayang seorang ibu. Kasih sayang nenek tidak mencukupi buat saya. Saya ibarat memetik bunga kasih yang tidak harum lagi. Saya merasa bosan dengan kehidupan saya. Saya mula mengabaikan pelajaran dan sekolah. Saya pernah menghadiri kaunseling tetapi keadaan tidak menjadi semakin baik. Malah, saya semakin menjadi-jadi. Saya mula bergaul dengan budak-budak di luar sekolah. Kebanyakan daripada mereka tidak lagi bersekolah.

Saya dikenalkan dengan seorang jejaka yang sangat tampan, yang membuat saya tertawan. Dia kemudian menjadi teman lelaki saya. Saya fikir dialah segala-galanya dalam hidup saya kerana dia, saya dapat minum secangkir kasih sayang. Setiap kali bersamanya, burung-burung kegembiraan berterbangan di taman hati saya. Namun, mengenalinya adalah suatu penyesalan yang besar. Jejaka itu, Amran, merosakkan hidup saya. Kerana dia, saya mula berjinak-jinak dengan rokok, arak dan dadah.

Sejak itu, hidup saya bergelumang dosa. Sekolah sudah diabaikan dan pada usia 16 tahun, saya tidak lagi bersekolah. Hampir setiap hari saya pulang lewat malam, dengan terhuyung-hayang akibat mabuk. Nenek yang sudah uzur hanya dapat menyaksikan cucunya yang bertambah liar itu. Iman saya tidak kuat sehingga nafsu ini membuak-buak dan saya menjadi seorang pengedar VCD haram kerana butuh duit untuk membeli dadah. Ibu masih tidak menyedari perbuatan keji saya.

Suatu hari, sedang saya mengedar VCD haram, saya ditangkap. Sedikit perasaan kesal menyelubungi saya. Saya merasakan bahawa ini perkara kecil sahaja dan jika dimasukkan ke penjara pun, setelah dua tiga tahun, saya pasti keluar jua. Tidak pernah saya bayangkan wajah ibu ketika melawat saya di penjara setelah saya menerima hukuman.

Kini, saya benar-benar kesal. Tidak sesekali pun terlintas di fikiran ini bahawa saya akan meringkuk di penjara selama lapan tahun. Saya tidak berani berhadapan dengan ibu. Tidak sanggup rasanya memandang wajahnya. Air mata jernih mengalir membasahi pipi ibu yang gebu. Pasti ibu merasa seperti di kiri api sedih, di kanan duri kecewa. Saat itu, saya bertanya sendiri, ‘Apakah dosa ibu sehingga saya membuatnya begini?’ Ibu, bagaimanapun, bersuara, dengan nada yang teresak-esak, supaya saya sedar akan kesilapan saya.

Sebelum sempat saya meminta maaf, ibu mengatakan bahawa dia sudah mengampunkan dosa-dosa saya. Tanpa dapat mengawal sebak di dada, air mata mengalir di pipi saya dengan deras. Ibu juga memberitahu bahawa nenek sekarang dirawat di hospital akibat terjatuh di tandas. Memang, malang tidak berbau.

Mungkin inilah balasannya bagi seorang yang hanya ingin minum secangkir kasih sayang. Andainya saya dapat mengembalikan waktu, saya tidak akan membiarkan diri ini terperangkap dalam kancah maksiat. Impian saya sekarang adalah membina hidup baru selepas dibebaskan dari penjara.

Nurul Aisyah Bte Juferi 2E6 '05

Tiada ulasan: