Ahad, 16 Oktober 2005

Mimpi

“Ingat, hidup ini hanya sekali, Analea. Jangan kau sia-siakannya. Kau hanya akan menghampakan ibu. Mereka yang rajin dan sering bersyukur kepada kehendak-Nya akan ditunjukkan jalan yang benar...”

Analea terbangun oleh mimpi yang aneh itu lagi. Sudah berturut-turut arwah ibunya menjelma di dalam permainan tidurnya.

Ibu Analea baharu sahaja meninggal dunia akibat barah darah. Ayahnya pula sering pulang lewat dari kerja. Ayahnya harus bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki. Sebelum ini semasa hayatnya, ibu Analea bekerja sambilan untuk menambahkan lagi pendapatan keluarga. Analea mula merasakan seperti tiada lagi kasih sayang dicurahkan untuknya. Baginya, bagaikan tiada lagi tempat untuk dia mengadu. Di sekolah pula, Analea sering tidak melakukan kerja sekolahnya, sering tidur di dalam kelas dan apabila ditegur oleh guru darjahnya, dia akan menjawab dengan biadab. Sering juga dia dihantarkan ke pihak kaunseling untuk mendidiknya tentang adab sopan terhadap orang lain tetapi semua itu hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja. Selepas sahaja dikaunsel, Analea akan tetap dengan kelakuannya itu.
Pada suatu hari, guru darjahnya memasuki kelasnya lalu memberitahu mereka bahawa beliau tidak akan mengajar lagi di sekolah itu disebabkan ingin melanjutkan pelajarannya di luar negeri. Kesunyian terus melingkari bilik darjah itu.

“Cikgu,” Ameerul, ketua kelas itu, mengangkat tangan, “Adakah cikgu akan meneruskan kerjaya cikgu sebagai seorang guru setelah habis pengajian cikgu?

“Mungkin, Ameerul. Cikgu gemar mengajar murid-murid, terutama sekali, seperti awak semua. Jika ada kesempatan, cikgu ingin sekali datang kembali ke sekolah ini untuk mengajar.” Kata-kata itu membuatkan Analea menjeling. Huh, macamlah kami semua suka dia. Boleh jalanlah! Fikir Analea.

Giliran Hilmi pula mengangkat tangan. “Cikgu, cikgu pergi berapa lama?”

“Mengikut peraturan institusi yang cikgu akan sertai, cikgu akan berada di London selama 3 tahun. Dengan itu, saya mendoakan kamu semua akan cemerlang dalam Peperiksaan Peringkat O kamu pada akhir tahun nanti! Belajarlah dengan bersungguh-sungguh.” Mata cikgu memandang semua yang berada di dalam bilik darjah itu dan kemudian tepat ke mata Analea.

“Jangan hampakan ayah dan bondamu, ya,” Cikgu mengangguk-angguk kepada Analea. Hanya senyuman yang tidak ikhlas diberikan oleh Analea.

Pada keesokan hari itu, satu kelas ingin tahu siapakah guru baru mereka yang akan mengambil alih tempat cikgu Azman. Mereka semua tidak sabar kecuali Analea yang sedang membaringkan kepalanya di atas meja, tidak menghiraukan apa sahaja yang berlaku di dalam kelas.

“Kelas! Bangun!” Ameerul mengarahkan semua murid dengan suaranya yang lantang. Analea tersentak daripada lamunannya lalu turut bangun bersama-sama kawannya yang lain.

Seorang wanita muda berbaju kurung putih melangkah masuk, penuh kesopanan. Setelah meletakkan buku-bukunya di atas meja guru, beliau memandang ke arah murid-muridnya dan tiba-tiba berhenti apabila ternampak Analea. Analiea kelihatan sugul dan tidak berminat.

“Baiklah murid-murid, pada hari ini awak semua tidak perlu mengucapkan selamat pagi. Saya akan teruskan dengan mengenalkan diri saya sebelum awak semua mengenalkan diri sendiri kepada saya. Nama saya ialah...” Beliau menuliskan namanya. R-O-S-L-E-A. Analea mengangkat dagunya lalu membaca apa yang tertulis di papan tanda.
Cikgu Roslea.

Roslea? Itu nama ibu aku. Argh... Peduli apa aku? Fikir Analea sambil mengangkat sebelah keningnya sahaja.

Cikgu Roslea pun menoleh ke arah murid-muridnya sekali lagi dan alangkah terperanjatnya Analea sehinggakan dia terduduk di atas kerusinya! Semua kawan-kawannya memandangnya dengan kehairanan.

Ibu? Tidak mungkin! Fikir Analea. Cikgu Roslea segera menuju ke arah Analea untuk mendapatkannya. “Awak tidak apa-apa?” Analea merenung tepat ke wajah Cikgu Roslea. Pelanduk dua serupa! Kerutan dahi Analea semakin bertambah. Tidak mungkin!
Sekolah sudah pun berakhir dengan bunyi loceng yang terakhir.

“Analea, mari sini. Cikgu ingin cakap sedikit dengan kamu.”

Analea segera bangun lalu berjalan ke arah meja Cikgu di hadapan kelas manakala murid-murid yang lain bergegas ke luar bilik darjah.

“Saya dapati awak sangat lemah dalam semua mata pelajaran. Ada apa-apa masalah yang sedang awak hadapi? Mungkin boleh dikongsi bersama cikgu agar masalah-masalah itu semua tidak akan menjadi bebanan lagi.”

Mula-mula Analea tidak mahu berkata apa-apa tetapi wajah yang mirip ibunya yang dirinduinya melembutkan hatinya yang keras itu. Analea pun memberitahunya tentang latar belakangnya.
“Saya rasa seperti tiada sesiapa lagi di dalam dunia ini. Ibu saya tiada lagi. Ayah sibuk bekerja siang dan malam. Semangat saya pun sudah hilang. Bagi saya, semua ini sudah tidak bermakna lagi.”Air mata Analea bergenang di celah matanya. Cikgu pun mengusap-usap jari-jemari Analea sambil menyuruhnya tabahkan hati.

“Walaupun orang yang paling dicintai tiada, kamu masih lagi mempunyai hidup dan masa hadapan. Jangan sia-siakannya. Awak hanya akan menghampakan ibu awak. Mereka yang rajin dan sering bersyukur kepada kehendak-Nya akan ditunjukkan jalan yang benar...”
Analea teresak-esak. Kata-kata Cikgu Roslea mengingatkannya tentang mimpinya pada tempoh hari itu.

Mungkinkan Ckgu Roslea petunjuknya ke arah jalan yang benar?

Adakah semua ini kehendak-Nya? Adakah erti ini semua menunjukkannya, dia masih disayangi? Oh Tuhanku, aku harus bersyukur dengan pemberianmu ini. Tidak akan aku sia-siakan kesempatan ini. Fikir Analea.

Setelah pertemuan itu, Analea sering datang ke sekolah dengan fikiran yang terbuka dan wajah yang ceria. Dengan tunjuk ajar Cikgu Roslea, semangatnya telah kembali. Analea mula bergiat dalam aktiviti-aktiviti di sekolah dan mula belajar dengan bersungguh-sungguh untuk Peperiksaan peringkat O pada hujung tahun.
...

Jantungnya berdebar-debar. Saat yang paling genting membuatkannya berpeluh walaupun di dewan sekolahnya mempunyai beberapa alat hawa dingin.
“Sharifah Analea Ul Haq bte Syed Farid Wajidi...”

Namanya pun telah dipanggil. Langkahnya yang teratur membawanya ke lokasi pemanggil itu. Dengan senyuman, si pemanggil itu memberinya sijil keputusan Peperiksaan peringkat ‘O’ nya.
“Tahniah Analea.”

5 Gred A1.
3 Gred A2.

Analea menoleh ke belakang dan melambai ke arah Cikgu Roslea. Cikgu Roslea membalas lambaian itu lalu rebah ke lantai.

“Cikgu!!”
Nur Arjuna Bte Karim 4E4 '05

Tiada ulasan: