Ahad, 16 Oktober 2005

Mimpi

“Ring…..ring…” bunyi telefon bimbitku lagi. Bunyi deringan yang tidak henti-henti sejak semalam. Aku menjeling ke arah telefon. Ternyata nombor yang tertera ialah nombor telefon Syah, orang yang amat aku sayangi, sekarang orang yang paling aku takuti.

Aku kenali Syahrizan sejak di bangku sekolah lagi dan kami saling cinta mencintai. Cinta pertamaku. Di sekolah, kami digelar sebagai pasangan yang paling cucuk dan semua sahabat kami jangkakan kami akan mengakhiri zaman bujang kami bersama. Alangkah salahnya jangkaan mereka.

Syah melanjutkan pelajarannya ke Amerika dan aku, di sebuah universiti tempatan. Pada mulanya kami berhubung hampir setiap hari tetapi lama-kelamaan berita daripada Syah semakin jarang dan akhirnya lenyap sama sekali.

Setelah begitu lama aku merinduinya, tiba-tiba Syah muncul kembali dalam hidupku. Kami terserempak di sebuah pusat membeli-belah. Masa itu aku bersendirian kerana anakku dijaga oleh mentuaku dan suamiku pula dihantar bekerja di Jakarta. Alangkah indahnya dapat menatap wajahnya sekali lagi. Syah tidak banyak berubah sebaliknya kelihatan semakin kacak dan sungguh romantis dan manja.

Berjam-jam kami duduk di “coffee house” sambil bertukar-tukar khabar. Rasanya macam kami masih bersama lagi dan baru semalam kami berpisah. Hinggakan aku terlupa bahawa aku sudahpun bergelar isteri dan mempunyai seorang anak yang amat aku cintai. Aku dilamun cinta dan buat masa itu hatiku kepunyaan Syah seorang. Pada masa itu dunia terasa indah tetapi Tuhan masih menyayangiku.

Aku tersentak dari lamunan cintaku apabila Syah menyentuh tanganku. Perasaan indahku bertukar menjadi cemas dan rimas. Dengan sekelip mata aku mula merasa jijik dengan kemungkinan apa yang akan berlaku jika aku terus melayani perasaan dan nafsuku. Dengan segera aku meminta diri lalu meninggalkan Syah terpinga-pinga seorang diri.

Bagaimana aku telah ditinggalkan tanpa alasan dan berita, kini gilirannya pula. Aku sedar sekarang bahawasanya aku sebenarnya tidak mencintai Syah tetapi mencintai perasaan cinta itu sendiri. Aku benar-benar berasa lega dan kini dengan ikhlas merindui kepulangan suamiku, duniaku dan syurgaku. Kesedaran yang membawa ketenangan. Aku mengusap-usap pipi anakku yang halus sambil merenung potret yang tergantung di tepi katilku. Aku bersyukur kerana Tuhan telah meneguhkan imanku daripada terpesong jauh. Mahligai yang telah aku bina akan terus kusanjung dan pertahankan.

Nur Ilaizah Abdul Rahman 4E4 '05

Tiada ulasan: