Ahad, 16 Oktober 2005

Remaja

Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Pergaulan Bebas Dan Kenakalan Remaja Dan Akibat-Akibat Buruk Yang Mungkin Timbul

Di negara kita hari ini, di mana-mana sahaja kita pergi kita akan melihat gelagat remaja kita yang sangat keterlaluan dalam mempamerkan akhlak mereka. Mereka mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling mereka. Punca utama yang menjadi penyebabnya ialah mereka tidak dibekalkan dengan iman yang kukuh. Oleh itu, ibu bapa wajib memainkan peranan yang penting dalam menjana kesejahteraan hidup anak-anak remaja mereka.

Hari ini, ibu bapa kian gagal menempuhi cabaran-cabaran hidup membimbing anak remaja mereka.Mereka sibuk dengan kerjaya mereka, lantas tidak mengendahkan hal ehwal anak remaja mereka. Ada juga ibu bapa yang tidak sehaluan perjalanan kehidupan mereka. Inikah yang kita ingin lihat dalam masyarakat Melayu Islam kita yang akhirnya menjadi ummah yang berpecah belah?

Melentur dari rebung kok jadi buluh kelak memakan tuan. Bentuklah nilai-nilai murni sejak anak itu dari kecil lagi jika terlewat buruk akibatnya. Rumah adalah tempat mengasuh, mendidik,mengajar yang utama bagi ibu bapa membimbing anaknya sebelum memasuki sekolah. Maka sudah pasti ibu bapalah guru awal yang memulakan bimbingan panduan kepada kesempurnaan penubuhan dan pertumbuhanjatidiri anak-anak asuhannya. Ibu bapa menjadi teladan yang bakal dicontohi oleh anaknya. Kalau buruk perahu buruklah pengkalannya.

Oleh itu tingkah laku ibu bapa, tutur kata, cara didikan mereka akan mempengaruhi tingkah laku anaknya nanti. Jikalau mereka suka menyumpah, memaki hamun dan menggunakan kata-kata kesat anaknya juga akan berbuat demikian juga nanti.

Selain daripada ibu bapa, banyak lagi unsur-unsur lain di luar yang menyebabkan anak remaja musnah. Pengaruh luar contohnya pengaruh media amat berkesan dalam penukaran minda dan etika remaja. Tarian-tarian barat yang liar dan pakaian yang tidak senonoh jika disajikan kepada kita secara berterusan telah mempengaruhi mereka. Pengaruh-pengaruh negatif ini terlalu sukar dibendung apatah lagi disekat dari cuba meresap dalam masyarakat kita. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa kenakalan remaja berpunca dari pengaruh-pengaruh tersebut.

Dan apabila kesemua faktor yang menjadikan kenakalan remaja sukar untuk dibendung, maka akan timbulnya akibat-akibat yang tidak diingini. Anak-anak yang telah meningkat umur dan menjejaki alam remaja rata-rata mempunyai naluri ingin tahu, ingin mencuba tersalah langkah terikut-ikut membabi buta maka timbullah gejala-gejala memberontak, menderhaka, kurang ajar dan lain-lain sifat tidak puas hati. Yang amat dikesali apabila mereka terlibat dengan kesalahan jenayah. Sudah kita lihat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang tidak terbatas tanpa memiliki sebarang perasaan malu hingga akan yang terlanjur dan sanggup melahirkan anak luar nikah atau ‘anak haram’. Diikuti lagi dengan remaja perempuan yang berpakaian singkat dan mendedahkan bahagian tubuh badan dengan megah dan bangga tanpa segan silu. Kaum lelaki yang sudah terlalu gemar dan menjadikan cara hidup mempergunakan wanita untuk melepaskan nafsu haiwaniahnya. Dan ada lebih buruk lagi apabila remaja kita yang mengaku diri mereka Islam tetapi budaya meminum alkohol atau arak sudah menjadi cara hidup mereka.

Untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam melakukan perbuatan-perbuatan yang ditegah agama bukanlah satu perkara yang amat susah. Pucuk-pangkalnya terletak di bahu remaja itu sendiri; hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih! Remaja juga diingatkan agar jangan ikutkan sangat rasa hati, bak kata pepatah: ikut rasa binasa, ikut hati mati, ikut nafsu lesu. Bukankah agama mengajar kita supaya membuat perbuatan yang baik itu dan meninggalkan perbuatan yang mungkar.Tetapi apa yang berlaku hari ini, sesetengah remaja melakukan yang sebaliknya.

Muhammad Khaldun Bin Syarif 4E4 '05

Tiada ulasan: