Jumaat, 21 Oktober 2005

Sahabat Karibku II

Orang yang selalu mendampingiku ketika aku berada dalam kesusahan dan juga turut menumpang rasa gembira.ialah sahabat karibku. Dia berkulit cerah dan mempunyai paras rupa yang agak cantik. Dia sebaya denganku dan kami telah berkawan selama empat tahun.

Dia merupakan seorang yang penyabar, penyayang, tidak sombong dan sungguh rajin. Dia sanggup mendengar segala masalah yang melanda diriku dan tolong mencari jalan penyelesaian bagi semua masalahku. Aku berasa terharu setiap kali dia dapat menolong aku. Kami berkongsi suka duka bersama. Tidak lupa juga pengorbanannya untuk diriku. Dia sanggup mengorbankan masa lapangnya untuk mengajar dan membimbingku, hingga aku mahir dalam sesuatu topik atau subjek yang menjadi kelemahanku.

Peristiwa yang tidak boleh aku lupakan di dalam sejarah hidupku ialah salah satu pengorbanannya yang terbesar untuk diriku. Peristiwa itu masih terpahat di kotak mindaku seperti ia baru terjadi semalam. Aku dan kawan karibku sedang bermain di padang sekolah. Tiba-tiba seorang budak lelaki terlanggar aku dengan kuatnya sehingga menyebabkan aku tersungkur lalu terjatuh ke muka bumi. Kulit kakiku terkupas dan darah mula mengalir. Aku tidak dapat lagi menahan kesakitan. Kawan karibku memapahku ke bilik yang dikhaskan untuk orang yang kurang sihat. Dia membubuhkan minyak di kakiku. Aku diizinkan pulang oleh pengetua sekolah. Kawan karibku menolong mengangkatkan beg aku dan juga memapahku pulang. Aku berasa sungguh terharu. Tiba sahaja di rumahku, aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Dia hanya tersenyum dan terus pulang ke sekolah semula. Keesokan harinya, dia datang ke rumahku untuk mengajar aku pelajaran-pelajaran yang telah diajar di sekolah pada hari itu. Perbuatan itu diulanginya sehingga aku sembuh semula.

Seperti biasa, kami akan ke sekolah dan melakukan segalanya bersama. Kami tidak pernah berasa cemburu atau pandang rendah antara satu sama lain. Kami saling hormat-menghormati dan mengetepikan segala perbezaan antara kami berdua. Kami juga saling tolong-menolong sama ada dari segi pelajaran mahupun hal lain.

Banyak yang telah aku pelajari daripada persahabatan ini. Mempunyai teman di dalam hidup akan membawa kebahagiaan dan dengan adanya teman, seseorang itu dapat meleraikan masalah-masalah dengan mudah. Aku juga kini lebih mengetahui erti kasih sayang, hormat-menghormati dan mengambil berat terhadap diri seseorang yang amat dihargai. Hidup seseorang itu tidak akan menjadi sunyi dan sepi jika adanya kawan karib di sampingnya yang sanggup berkongsi susah senang hidupku. Aku berasa bertuah kerana mendapat seorang kawan yang setia dan baik hati.

Khuzaimah Bte Mohd Yuni 1E5 05

Tiada ulasan: