Selasa, 29 September 2009

Aktiviti di luar bilik darjah

Tempat: Kampung Gelam
Masa: Jam 3 petang
Pelaku 1: Ella
Pelaku 2: Maria

Ella dan Maria sedang sibuk berjalan-jalan di Kampung Gelam untuk membeli-belah di sana. Tiba-tiba, mereka ternampak beberapa kumpulan murid-murid Sekolah Ngee Ann sedang mengambil bahagian dalam suatu aktiviti di luar bilik darjah di situ. Mereka pun berbincang tentang baik buruknya aktiviti di luar bilik darjah.

Ella: Eh, Maria. Kamu lihat itu! Murid-murid sekolah sedang asyik menyertai aktiviti di luar bilik darjah. Seronok, bukan?

Maria: Seronok? Saya tidak suka aktiviti di luar bilik darjah.

Ella: Mengapakah kamu berkata begitu, Maria? Aktiviti di luar bilik darjah membolehkan kita menambahkan ilmu pengetahuan sambil berseronok.

Maria: Saya merasakan begitu leceh bagi guru-guru untuk membawa murid-murid keluar dari kawasan sekolah kerana mereka perlu mengambil kira beberapa faktor termasuklah pengangkutan murid-murid, izin ibu bapa mereka dan sebagainya.

Ella: Benar kata kamu tetapi murid-murid memberikan tumpuan yang lebih semasa mengikuti aktiviti di luar bilik darjah berbanding semasa duduk di dalam kelas memandangkan ia lebih menyeronokkan dan tidak membosankan. Oleh sebab itu, lebih banyak ilmu pengetahuan dapat diperolehi.

Maria: Sebetulnya, murid-murid ini melakukan aktiviti di luar bilik darjah hanya untuk berseronok sahaja. Maka, pengetahuan yang diperolehi tentu dilupakan. Mereka hanya mengenangkan masa-masa berseronok dan bukan pengetahuan baharu yang mereka kutip semasa menjalani aktiviti di luar bilik darjah itu tadi.

Ella: Begitukah? Perkara-perkara baharu sebenarnya lebih senang dipelajari dan difahami apabila murid-murid mengalaminya atau melihatnya sendiri semasa aktiviti di luar bilik darjah berbanding jika guru yang menjelaskan perkara-perkara tersebut di dalam kelas.

Maria: Namun demikian, ia amat menyusahkan untuk mengadakan aktiviti di luar bilik darjah kerana pasti ada murid yang berkelakuan nakal. Ini boleh memalukan nama sekolah.
Ella: Melalui keseronokan aktiviti di luar bilik darjah, minat terhadap sesuatu pelajaran dapat dipertingkatkan dalam kalangan murid-murid.

Maria: Aktiviti di luar bilik darjah agak membimbangkan bagi guru-guru dan ibu bapa murid-murid memandangkan keselamatan murid-murid ketika berada di luar sana tidak terjamin. Malang tidak berbau. Bukankah lebih selamat jika mereka duduk sahaja di dalam kelas semasa belajar?

Maria dan Ella terpaksa menghentikan perbincangan hangat mereka apabila mereka didekati sekumpulan pelancong yang mengharapkan bantuan mereka untuk merakamkan foto kenangan.

Athallah Aziz
Pelajar Menengah 3
Bahasa Melayu Lanjutan

Tiada ulasan: