Selasa, 29 September 2009

Melengkapkan karangan

Rambutnya hitam, panjang berikal-mayang. Matanya bulat dan bersinar-sinar. Mulutnya kelihatan manis ketika dia menguntumkan senyuman. Inilah teman baru kami di sekolah. Namanya, Lily. Oleh kerana asyik keseorangan, kami telah mengajaknya untuk berteman. Dahulu aku tidak tahu mengapa tiada yang ingin berkawan dengannya, tetapi mungkin sekarang, aku sedar mengapa, setelah berlakunya peristiwa pada hari jadinya.
Hei, lihat ini! Sangat lawa bukan? Oh, tetapi itu lebih menawan! Eh, tidak! Itu lagi cantik!” teriak Lily yang bermata rambang itu.
Aku mengeluh sambil menoleh ke arah Mimi seakan-akan meminta pertolongan untuk melarikan diri dari kekecohan Lily. Namun, Mimi hanya membalas dengan mengangkat bahunya.
“Oh! Lihat itu! Aku inginkan yang itu!” kata Lily dengan manja sambil menarik-narik tanganku dan Mimi.
Untunglah bagi Lily, hari ini adalah hari jadinya. Oleh itu, sebagai sahabatnya, aku dan Mimi telah berjanji untuk menuruti setiap satu perintahnya. Jika tidak, aku tidak, akan mengekori Lily membeli-belah kerana aku sememangnya sudah letih sejak dari pulang sekolah pagi tadi.
“Kau boleh berjalan cepat sedikit atau tidak? Mengalahkan nenek tua yang bertongkat itu sahaja!” Lily menyindirku dengan kuat membuatkan orang di sekeliling kami saling berpandangan.
Sampai hati dia berkata sebegitu. Sungguh biadap! Ingin sahaja aku menamparnya kerana tidak pandai menjaga mulut. Namun, Mimi sempat mengingatkanku bahawa kami juga telah berjanji untuk menghiburkan hati Lily pada hari ini. Jika tidak, tanganku ini pasti kan menghinggap ke pipi Lily yang gebu itu.
“Nana! Lihatlah! Lawanya ! Aku sudah membuat pilihan! Ya, aku mahukan yang ini!” Lily memanggilku dan matanya menatap sebuah pameran dompet-dompet buatan kulit asli .
Sememangnya, aku tidak dapat menafikan bahawa dompet itu sangat menarik, namun, harganya terlalu mahal. Tidak mungkin aku dan Mimi mampu mendapatkan dompet itu untuknya. Kami pun meminta maaf kepada Lily kerana tidak mampu untuk membeli dompet itu.
Hatiku lega apabila Lily mengukirkan sekuntum senyuman. Namun, tangannya sempat mencapai dompet itu daripada meja pameran dan matanya meninjau-ninjau seperti mencari seseorang. Akhirnya, dengan pantas, dia menyuruh aku meletakkan dompet ke dalam begku memandangkan aku seorang sahaja daripada kami bertiga yang membawa beg. Lily pun menghulurkan dompet itu kepadaku sambil memujuk, “Alah, kamu sudah berjanji untuk menuruti segala permintaanku bukan? Di manakah ketulusan hati dan kejujuran kamu apabila berjanji denganku? Cepatlah! Lagipun, tiada siapa yang nampak. Cepatlah!”
Aku memandangnya dengan jijik sambil menepis tangannya. Berdesing telingaku apabila mendengar kata-katanya tentang ketulusan hati dan kejujuran. Kata-katanya yang bak kuali memanggil belanga hitam. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku menampar mukanya yang ibarat bunga dedap, sungguh merah, berbau tidak.
“Sudahlah, Nana! Lupakanlah dia! Mari kita pergi,” pujuk Mimi.
Aku menarik Mimi bersamaku lalu mengangkat kaki keluar daripada pusat membeli-belah itu. Tanpa disedari, Lily telah meletakkan dompet itu ke dalam begku. Oleh itu, loceng kecemasan berdering dengan kuat ketika aku melepasi pintu membeli-belah itu. Sempat pula Lily mengejek kami.
Tidak lama kemudian, aku dan Mimi diiringi tiga orang pegawai keselamatan untuk disoal siasat. Kami dilepaskan dengan hanya diberi amaran memandangkan ini adalah kali pertama kami didapati melakukan kesalahan itu dan kerana kami masih bersekolah. Aku dan Mimi berdiam diri sahaja ketika dilepaskan. Di sudut hati kami masih ada perasaan marah bercampur aduk dengan rasa malu dan kesal.
Marah kerana Lily tidak mahu meminta maaf dan mengaku akan kesalahannya malah, dia mentertawakan kami pula. Malu kerana nama baik kami telah dicemari oleh pengkhianatan seorang “teman” dan sangat kesal kerana berkenalan dengan Lily.
Akhirnya, kami membuat keputusan untuk memutuskan perhubungan kami dengan Lily yang semakin sombong itu. Pada pandanganku, “teman” sepertinya tidak patut dihargai. Walau apapun yang terjadi, aku tidak menyesal dengan keputusan yang telah aku ambil. Menurutku, itulah pilihan yang terbaik.

Nabilah
4R6

Tiada ulasan: