Selasa, 29 September 2009

Masalah remaja dipengaruhi oleh keadaan persekitaran. Adakah kamu bersetuju dengan pernyataan ini. Huraikan.

Masalah remaja didefinisikan sebagai kerumitan yang dialami oleh seseorang yang berumur dalam lingkungan belasan tahun. Keadaan persekitaran pula ialah semua unsur alam sekitar yang ada di sekeliling kita seperti rakan sebaya, media massa dan masyarakat.
Sebagaimana yang telah kita sedia maklum bahawa rakan sebaya merupakan orang yang paling rapat dengan remaja selain daripada ibu bapa. Justeru, tidak hairanlah sekiranya remaja mudah terikut-ikut dengan tabiat rakan mereka ini. Masalah akan timbul sekiranya remaja tersilap dalam memilih rakan. Hal ini akan menyebabkan mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai gejala sosial seperti lari dari rumah, lepak dan ponteng sekolah. Ketenangan dan keseronokan yang dialami bersama-sama rakan sebaya ini berupaya untuk membentuk seseorang remaja itu menjadi liar dan ganas sekiranya tiada bimbingan daripada keluarga dan masyarakat sekeliling.
Selain itu, media elektronik dan media cetak juga dapat mempengaruhi remaja dengan mudah seperti mempengaruhi remaja dalam melakukan sesuatu perubahan yang bertentangan dengan norma kehidupan harian. Terdapat sesetenagh remaja yang berpakaian compang-camping dan koyak-rabak hanya kerana terikut-ikut dengan gaya penyanyi luar negara yang terdapat dalam majalah dan televisyen. Hal ini demikian kerana pendirian dan pemikiran remaja yang belum matang serta masih tercari-cari identiti sendiri.
Masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja juga berpunca daripada kelonggaran insitusi keluarga. Kesibukan ibu bapa atau masalah yang dihadapi mereka akan menyebabkan anak-anak terbiar dan tidak tentu arah tujuan dalam kehidupan mereka. Mereka akan menghabiskan banyak masa di luar rumah bersama-sama rakan sebaya bagi menghilangkan rasa kebosanan. Ini akan memberi ruang untuk remaja demikian terjebak dalam gejala sosial.
Natijahnya, memang sudah jelas bahawa faktor persekitaran banyak mendorong remaja melakukan pelbagai kesalahan dan kesilapan melalui kehidupan seharian. Justeru, semua pihak harus memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini agar tidak menjadi lebih serius pada masa akan datang.

Nurul Izzati
4R3

Tiada ulasan: