Selasa, 29 September 2009

Kehidupan yang mewah tidak memberi peluang kepada golongan muda hari ini merasa kesusahan. Bincangkan kesan-kesan yang boleh timbul akibat keadaan ini

Remaja sering mendapat kutukan akibat sikap mereka yang angkuh serta sombong. Namun, jika seorang remaja itu dikatakan hidup dalam kemewahan, apakah implikasinya? Selain daripada bersikap angkuh dan sombong, masalah yang lebih berat yang dihadapi oleh golongan remaja sebegini adalah kurangnya peluang bagi mereka merasai kesusahan kerana hidup yang terpelihara. Daripada kurangnya peluang bagi mereka merasai kesusahan, remaja-remaja ini tidak bersedia menghadapi kesusahan di masa hadapan. Di samping itu, remaja-remaja akan bersikap materialistik atau kebendaan, angkuh, sombong dan sebagainya.

Kehidupan remaja masa kini yang mewah serta terpelihara membuatkan mereka lupa akan kesusahan yang dihadapi orang lain. Oleh sebab kehidupan yang terpelihara yang dijaga dengan rapi oleh ibu bapa, remaja tidak dapat keluar daripada pemikiran di mana mereka merasakan bahawa semua orang hidup mewah seperti diri mereka sendiri. Kehidupan yang susah tidak pernah terbayang dalam minda remaja dan ini membuatkan mereka tidak bersedia untuk menghadapi segala macam kesusahan yang mungkin harus mereka alami di masa hadapan. Kehidupan yang susah hanya dilihat dari kaca mata televisyen sahaja dan ini tidak memberikan gambaran yang tepat tentang kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh orang-orang lain. Oleh kerana remaja tidak terdedah kepada kehidupan yang payah, adalah sukar bagi mereka untuk membantu atau memahami rakan-rakan yang tidak bertuah seperti diri mereka sendiri. Selain itu, bayangkan reaksi remaja mewah yang secara tiba-tiba, harus menjadi miskin!

Kita sering menonton televisyen yang memaparkan situasi sebegini dan akhirnya, di akhir jalan cerita, remaja tersebut dapat hidup kembali dalam kesenangan. Namun, bolehkah ini terjadi dalam realiti ataukah ini hanya sebahagian daripada fantasi dunia? Bagi remaja yang ingin menolong diri mereka sekiranya mereka berada dalam kesusahan, mereka harus merasai pahit getirnya kehidupan yang sukar dahulu. Oleh sebab ini, secara purata, amatlah sukar bagi golongan remaja yang tidak pernah menghadapi kesukaran untuk menolong diri mereka sendiri sekiranya terjebak dalam kesusahan.

Remaja yang hidup mewah juga seringkali bersikap materialisktik ataupun kebendaan. Sikap sebegini membuatkan remaja sombong dan bongkak, kerana segala barangan yang mahu dibeli harus berjenama. Jam tangan Rolex? Kasut Adidas? Semua yang dimahukan, harus berjenama. Jikalau tidak, ia tidak “elok” dipakai atau dilihat oleh rakan-rakan. Sikap sebeginilah yang membuatkan ramai merasa meluat dengan gaya dan sikap remaja mewah. Selain itu, kerana remaja sering mendapat apa yang dimahukan, amatlah sukar bagi ibu bapa untuk membendung gaya pembelanjaan anak-anak. Sesetengah ibu bapa ada memberikan anak remaja mereka kad kredit untuk digunakan agar tidak perlu gusar apabila membawa wang yang banyak. Namun, seringkali, remaja mewah menjadi boros apabila diberikan kebebasan sebegini dan kesusahan akhirnya akan ditanggung oleh si bapa.

Apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa yang berpendapatan tinggi adalah bagi mereka mengajar anak remaja mereka cara pembelanjaan yang betul. Remaja mewah tidak sepatutnya diberikan wang yang banyak sebagai wang jajan harian. Sebaliknya, mereka harus “bekerja” untuk mendapat wang jajan yang lebih. Bukannya bekerja di luar, tetapi hanya menolong dengan kerja-kerja ringan di rumah sahaja. Dengan cara ini, remaja akan dapat memahami kesukaran mencari wang dan diharapkan ini dapat mengajar mereka supaya berdikari dan bertanggungjawab.

Bukannya semua remaja yang berada bersikap boros, materialistik, kebendaan, angkuh, serta sombong. Ada juga yang pandai berjimat, sensitif kepada mereka yang lebih memerlukan dan bertanggungjawab. Ini semua terletak kepada cara bagaimana remaja itu dididik dan dibesarkan. Mereka yang dibesarkan dengan baik akan menjadi bertanggungjawab dan bagi mereka yang tidak dididik dengan sempurna, ada yang akan terpesong jalannya. Namun, setiap orang, terutama sekalinya remaja, harus ingat bahawa langit itu bukannya sentiasa cerah, ada kalanya ia mendung.


Noor Asyraf (38)
4R3

Tiada ulasan: