Selasa, 29 September 2009

Kusangka Panas Hingga Ke Petang, Rupanya Hujan Di Tengahari

Sang fajar menyuluh bumi. Ia seakan-akan tidak pernah lupa pada rutinnya. Pagi yang cerah dan bertemankan kicauan burung itu telah menceriakan suasana. Aku duduk berteleku memandang secangkir kopi yang telah disiapkan oleh pembantu rumahku. Sekonyong-konyong, benak fikiranku diketuk. Hatiku dirundung kesedihan. Satu demi satu babak sandiwara keluargaku berlegar di kepala.

Aku anak tunggal yang dilahirkan kepada keluarga yang hidup sederhana. Aku sangat bahagia kerana ibu bapaku menatangku bagai minyak yang penuh. Aku telah menjalani hidup tanpa sebarang rintangan dan pancaroba. Dunia ini seakan-akan berputar di sekelilingku sahaja. Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Ayah telah dinaikkan pangkat. Kami berasa bahagia kerana pada masa yang sama gaji ayah akan dinaikkan. Namun, ayah sering pulang lewat untuk membereskan tugasnya di pejabat. Ia selalu menjadi punca pertelingkahan antara ibu dan ayahku. Mereka akan bertengkar bagai anjing dengan kucing pada waktu malam sedang aku terlena dibuai mimpi indah.

Pada suatu malam, aku terjaga dari tidur kerana bunyi riuh-rendah mereka berkelahi. Waktu itu, baru aku maklum tentang punca pertengkaran mereka. Ibu telah menuduh ayah bermain kayu tiga walhal ayah pulang lewat kerana harus menyelesaikan tugasnya di pejabat. Ibu cemburu buta dan selalu menuduh ayah yang bukan-bukan. Pada masa yang sama, aku telah diabaikan.

Tanpa disangka-sangka, ibu telah membuat gugatan cerai dan ayah telah melafazkan talak di hadapan aku. Empangan airmataku pecah dan manik-manik jernih mula merembes keluar. Aku berlari ke kamar dan menghempas daun pintu. Esakan tangisanku semakin kuat dan kali ini, airmataku mengalir seperti air di kali yang deras. Aku tidak tahu harus berbuat apa lagi. Hanya airmata yang setia menemaniku sepanjang hari.

Kini aku sudah lima tahun bernikah dan dikurniakan seorang cahaya mata. Aku bahagia hidup di samping keluargaku. Aku telah mendapat banyak pengajaran daripada masalah yang membelenggu ibu dan ayahku pada waktu dahulu. Antaranya ialah, walaupun cemburu itu tandanya sayang, sebagai isteri, aku tidak boleh cemburu buta dan menuduh suamiku tanpa bukti yang sahih. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami dan isteri. Daripada kejadian itu, aku sedar bahawa pertelingkahan adalah asam garam kehidupan suami dan elakkan daripada bertengkar di hadapan anak-anak.

Sejak peristiwa yang pahit itu, aku telah menjadi manusia yang lebih matang. Aku juga cuba mencari huraian secepat mungkin bagi masalah yang dihadapi agar mahligai yang dibina akan kekal aman dan bahagia.


Siti Atiqah Bte Ramli 4E4 '09

Tiada ulasan: